Saturday 21 January 2012

Hobi

Dahulu, rasanya Kak Izzah tidak ada hobi. Semasa di sekolah, Kak Izzah selalu tengok kawan-kawan lain ada hobi masing-masing. Ada yang suka kumpul setem, kumpul duit lama, tonton TV dan sebagainya. Kak Izzah ada juga cuba-cuba mengumpul setem, tetapi lama-lama Kak Izzah jadi bosan pula. (^_^')

Sejak menjadi penulis, barulah Kak Izzah terfikir rupa-rupanya Kak Izzah ada hobi. Baiklah, sebelum bercerita lanjut, kita buka Kamus Dewan Edisi Empat dan lihat apa maksud 'hobi'.

kegemaran yg diamalkan pd waktu lapang dan bukan pekerjaan yg utama (spt mengum­pul setem, membaca, dll)

Baik. Sekarang sudah sah Kak Izzah memang ada hobi. Banyak pula rupanya. Malah... erk! Mungkinkah hobi Kak Izzah lebih banyak daripada kerja? (=_=')

Di sini Kak Izzah mahu senaraikan kegemaran yang diamalkan pada waktu lapang dan bukan pekerjaan yang utama:

1. Facebook. (Er... er....)

https://www.facebook.com/izzahhuzaira


Boleh dikatakan, dalam setiap hari, hanya 6 jam Kak Izzah tidak berFacebook. Hehe. Melainkan sekiranya Kak Izzah ada kerja di luar. Sebenarnya Kak Izzah menggunakan sepenuhnya Facebook sebagai tapak utama berhubung dengan saudara-mara, rakan-rakan, pembaca, dan bakal pelanggan. Apatah lagi semenjak Kak Izzah mula menjalankan Kursus Online Penulisan Kreatif menggunakan Facebook, maka, masa Kak Izzah semakin lama semakin kerap dihabiskan di Facebook. Kak Izzah juga adalah orang yang amat jarang menonton televisyen dan tidak membaca surat khabar. Semua berita tempatan dan luar negara, Kak Izzah dapatkan di Facebook sahaja. Maklumlah, sekarang ini, semua surat khabar dan saluran TV, sudah ada Fan Page mereka sendiri. Kak Izzah klik Like sahaja, maka terpaparlah semuanya di News Feed setiap hari. Di Facebook juga Kak Izzah dapat melihat perkongsian kisah, video, dan foto yang menarik dan dapat dijadikan sumber idea dalam penulisan. Kak Izzah juga mempromosikan kursus-kursus yang Kak Izzah jalankan di Facebook. Alhamdulillah, setakat ini, kesemua peserta kursus Kak Izzah peroleh daripada iklan di Facebook.

Baiklah. Nampak macam Facebook sudah jadi pekerjaan Kak Izzah yang utama. Macam tidak boleh pula dikatakan Facebook adalah hobi semata-mata. Mungkin patut Kak Izzah cantas hobi yang pertama ini daripada senarai. Heh heh....


2. Membaca buku.

Hai hai... sudah namanya penulis, asyik dengan buku. Pertama tadi, Facebook. Kedua, book. Hehe. Ini hobi Kak Izzah sejak kecil. Alhamdulillah, Kak Izzah pandai membaca bermula usia 4 tahun. Ibu Kak Izzah kata, semasa kakak Kak Izzah darjah satu, Kak Izzah sentiasa sibuk-sibuk mahu baca buku sekolahnya. Sebab itu Kak Izzah pandai membaca lebih awal. Disebabkan itu juga, Kak Izzah tidak masuk tadika, terus sahaja masuk darjah satu. (^_^)b

Perpustakaan peribadi Kak Izzah. Foto pada 9 Mei 2011. Terkini, lebih penuh lagi!

Kak Izzah suka baca novel yang ceritanya lain daripada yang lain. Zaman muda-muda dahulu, suka jugalah baca novel cinta. Tetapi, mungkin sebab sudah terlalu banyak membaca, Kak Izzah rasa bosan pula kerana jalan ceritanya serupa sahaja. Balik-balik, berebut boyfriend / girlfriend, tipu duit syarikat juta-juta, cinta terhalang, orang kaya sombong, orang miskin teraniaya dengan dahsyat, hero / heroin ada sakit barah otak.... (#_#)

Sekarang Kak Izzah suka baca novel yang kelakar-kelakar terutama tulisan Andrea Hirata dan Bahruddin Bekri yang sangat Kak Izzah hormati. Kerjaya sebagai penulis dan trainer, sangat sibuk. Mahu meredakan diri dengan bercuti, memang tidak dapat dibuat selalu. Jadi, novel kelakar adalah satu daripada 'jalan keluar' apabila berasa buntu dan tertekan. Selain novel kelakar, Kak Izzah juga suka baca novel yang ceritanya membuatkan Kak Izzah berfikir. Maklumlah, walaupun sibuk, otak Kak Izzah ini perlu sentiasa diaktifkan bagi menghasilkan karya yang bagus-bagus. Hanya sekarang ini, Kak Izzah sudah jarang punya masa membaca buku dengan aman damai. Jadi, apabila ada peluang, Kak Izzah memilih bergerak menaiki kenderaan awam terutama apabila ke lokasi jauh. Pada masa itulah Kak Izzah akan membaca dengan bersungguh-sungguh. Syukur, Kak Izzah tidak mengalami pening dan mabuk membaca buku dalam kenderaan bergerak. Kalau tidak, takkan Kak Izzah jadi pengasas gerakan Baca@Komuter. (^_^)v


3. Menonton filem dan teater.

Pawagam kegemaran Kak Izzah di Seremban kerana tidak perlu bayar parkir!

Sama ada filem di pawagam, ataupun koleksi yang ada dalam simpanan. Seperti novel, Kak Izzah memang suka tonton filem kelakar. Terutama animasi 3D... dengar sahaja ada filem animasi baru, pasti Kak Izzah terjah pawagam berhampiran. Selain itu, Kak Izzah juga suka tonton filem epik seperti Lord of the Rings, dan yang Melayu tentulah Merong Mahawangsa. Paling Kak Izzah menyampah adalah filem seram. Menyampah sebab orang akan jerit-jerit dalam pawagam, padahal hantu itu adalah orang yang berlakon. Tak takut langsung! ;p Pernah sekali di Brunei, kawan Kak Izzah bawa tonton filem hantu Hollywood. Dalam panggung, ada VIP. Kami asyik terkejut-terkejut bukan sebab hantu, tetapi sebab isteri VIP itu menjerit-jerit sangat kuat. Sabar sahajalah....

Kak Izzah juga 'kaki teater'. 

Siapa siapa itu? Memandang pada aku?

Syukurlah, kawan-kawan Kak Izzah ramai yang sama minat teater. Terutama teater muzikal. Kak Izzah sangat suka karya muzikal... sehingga Kak Izzah pernah fikir mahu buat novel muzikal! Teater paling mengujakan pernah Kak Izzah tonton setakat ini adalah Seri Mersing. Terbaik! The Secret Life of Nora juga bagus. Puteri Gunung Ledang, Kak Izzah tidak berjaya beli tiket. P Ramlee the Musical pula, Kak Izzah tonton di TV sahaja.


4. Doodle.

Apa itu doodle?

Menurut Kamus Inggeris - Melayu Dewan, 'doodle' bermaksud:

menconteng-conteng.

Boleh juga klik di sini bagi mengetahui definisi 'doodle' oleh Wikipedia.

Sebenarnya, Kak Izzah memang sudah lama suka men-doodle. Hanya baru-baru ini sahaja Kak Izzah tahu nama aktiviti ini adalah doodle, melalui kawan Kak Izzah iaitu penulis Malina J. Kak Malina J sangat rajin men-doodle dan cantik-cantik hasil karyanya. Marilah Like page Saya Suka Doodle yang beliau buka ini.

Ini satu daripada doodle yang pernah Kak Izzah buat ketika bosan.



Marilah tonton bagaimana Kak Izzah men-doodle, dengan latar lagu 'Terukir Di Bintang' oleh Yuna. Doodle ini dibuat secara spontan, mengikut lagu. Apa yang disebut oleh Yuna, itu yang Kak Izzah lukis. Kak Izzah men-doodle kerana baru menerima Buku Nota contengconteng.com. Teruja!


Seronoknya men-doodle ini, adalah kerana ia seperti karaoke. Suara tidak merdu pun tidak mengapa, nyanyi sahajalah, tiada yang marah. Doodle pula, lukisan tidak cantik pun tidak mengapa. Lukis sahajalah, dan bebaskan kreativitimu! Wah, sudah macam salah satu topik dalam modul Pembinaan Karakter PLKN pula hehe.


5. Permainan Video.

Selamat berkenalan dengan Kak Izzah, perempuan yang suka bermain permainan video ;p

Semasa Kak Izzah dapat 4A dalam UPSR tahun 1991, Kak Izzah minta hadiah permainan video daripada ibu bapa! Apa lagi, sepanjang cuti sekolah, itu sahajalah kerja Kak Izzah dengan adik Kak Izzah yang menumpang tuah. Haha.

Kak Izzah juga ada PS2, yang Kak Izzah beli daripada adik Kak Izzah sendiri. Kalau tengok dalam Galaxy Tab Kak Izzah, penuh dengan permainan yang Kak Izzah download. Kak Izzah paling suka main permainan seperti The Sims, dan juga permainan strategi peperangan dan bisnes. Ehem. Maklumlah, Kak Izzah kan usahawan. 

Menang bergaya.

Permainan adventure pun Kak Izzah suka, tetapi bosanlah kerana selepas tamat kembara, sudah tidak boleh main lagi kerana sudah tahu triknya. Ada kalanya, Kak Izzah main permainan lawan-lawan juga seperti Tekken, bagi melepaskan geram, dan bola sepak terutama Street Soccer. Walaupun hakikatnya Kak Izzah adalah kaki bangku. Sekian (u_u).


6. Fotografi.

Sebenarnya, Kak Izzah teringin sangat memiliki kamera hebat DSLR. Kak Izzah sangat suka ambil foto di sana sini. Tetapi, Kak Izzah belum boleh beli DSLR lagi, kerana wang yang ada perlu digunakan untuk perkara-perkara lebih penting dan utama. Melainkan ada orang mahu hadiahkan DSLR kepada Kak Izzah, pasti diterima dengan hati yang berbunga-bunga tulip warna-warni seperti di Belanda. Aww~

Kak Izzah suka ambil foto pemandangan dan foto-foto yang ada cerita di dalamnya. Amboi, mentanglah penulis... ambil foto pun mahu ada cerita. 

Dalam kesesakan jalan raya pun Kak Izzah suka ambil foto ;p

Kak Izzah kurang suka ambil foto manusia, melainkan secara kandid dan ada cerita. Dan, Kak Izzah suka sangat ambil foto haiwan comel terutama kucing. Setiap kali Kak Izzah pergi ke rumah Sifu Puan Ainon, pasti Kak Izzah akan ambil foto kucing-kucing peliharaan beliau yang comel tahap rasa-nak-picit-perut-mereka-satu-per-satu. (=^.^=)

Ini salah seekor kucing Puan Ainon. Namanya Si Azzah. Memang kaki Facebook! ;p


7. Mengembara.

Inilah hobi paling mahal dan memakan masa yang lama. Sejak kecil, ibu bapa Kak Izzah membawa kami tiga beradik berjalan-jalan ke banyak tempat. Kak Izzah ingat semasa berusia 6 tahun, ibu bapa baru beli Proton Saga. Semasa cuti sekolah, kami sekeluarga bersama uwan Kak Izzah iaitu arwah Hjh Hambiah Md Som, mengembara dengan kereta baru ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Selain itu, ibu bapa Kak Izzah juga kakitangan kerajaan. Maka, selalu jugalah Kak Izzah ikut mereka berkursus di mana-mana. Seronok betul!

Terbawa-bawalah sehingga sekarang. Kak Izzah sangat suka mengembara gaya backpackers. Kak Izzah tidak gemar ikut agensi pelancongan. Selain mahal, leceh juga kerana tidak dapat bergerak mengikut kehendak sendiri.

Terkini, Kak Izzah dan tiga orang kawan mengembara ke Jakarta dan Bandung. Kesemua perancangan kami buat sendiri tanpa bantuan agen. Seronok betul kerana dengan mengembara, barulah dapat betul-betul kenal tempat orang. Apabila berasa susah di tempat orang, barulah pengembaraan jadi sangat bermakna.




Kak Izzah berangan mahu mengembara lebih jauh lagi. Teringin mahu ke Turki, Sepanyol, dan negara-negara Eropah. Mahu juga ke Jepun, Korea dan Amerika. Apapun, sasaran utama Kak Izzah, mahu menunaikan haji. Insya-Allah, satu hari nanti, mudah-mudahan Allah perkenankan.

Baiklah. Ini tujuh hobi Kak Izzah. Kebanyakannya, memang disebabkan Kak Izzah mahu aktifkan otak kanan supaya berfikir dan mendapatkan idea dalam berhibur. Apapun, setiap apa yang Kak Izzah lakukan, Kak Izzah pastikan ada pulangannya. Pulangan untuk dunia, dan lebih penting pulangan untuk akhirat.  Apabila Kak Izzah dapat tulis buku yang menarik dan orang suka baca, dapatlah Kak Izzah sebarkan kebaikan di dalamnya kepada lebih ramai orang. Insya-Allah. Kak Izzah sedar, kalau Kak Izzah tulis buku yang membosankan, walaupun kandungannya baik, tetap tidak berguna juga kerana orang tidak mahu baca.

Bekerja keras sahaja pun tidak boleh juga kerana otak dan tubuh kita perlukan rehat. Asalkan tidak melakukan aktiviti yang Tuhan tidak suka, cukuplah. Apa yang penting, hobi-hobi juga, ibadah pastikan buat!

Selamat berhobi! \(^_^)/

No comments:

Post a Comment