Wednesday 23 November 2011

Perjumpaan Tahunan Pembaca Buku AinMaisarah!

Baik. Blog sudah bersawang. Alasan 'sibuk' sudah basi. Sekian. (u_____u)

Tetapi Kak Izzah tetap bergigih mengemas kini blog ini kerana... kerana... kerana apakah?

Kerana, Perjumpaan Tahunan Pembaca Buku AinMaisarah akan berlangsung tidak lama lagi!

Serius! Tidak lama lagi! Yey!

Mari ramai-ramai ke sana pada 26 hingga 28 November 2011. Alamatnya di Banglo Pink AinMaisarah, Lot 12, Persiaran Titiwangsa, KL (berdekatan Istana Budaya). 

Banyaknya acara yang hebat-hebat, termasuklah majlis pelancaran novel terbaru AinMaisarah iaitu Jutawan Gedik.

Ya! Jutawan Gedik, yang adik-adik baca setiap hari Sabtu di Berita Harian itu. Ya, yang itulah! Sudah jadi novel!

Selain itu, ada banyak stesen-stesen menarik bagi dikunjungi. Ada stesen spa, stesen butik, stesen berinai, stesen make over, stesen photo shoot, stesen paint ball dan Kafe Pink!

Dan... dan... jeng jeng jeng....




Apakah dalam gambar itu?

Puteri-puteri dari Pengembaraan Empat Puteri juga akan membuat kemunculan istimewa pada petang 26 November 2011. Gambar yang adik-adik lihat ini adalah hadiah-hadiah yang akan diberi oleh Puteri Orkid dari Bakul Ajaib-nya.

Wah! Puteri Orkid ada Bakul Ajaib?

Ya! Bukan Puteri Orkid sahaja. Puteri Mawar, Puteri Seroja dan Puteri Cempaka juga ada Bakul Ajaib masing-masing.

Bagaimana mahu mendapatkan hadiah yang comel lagi eksklusif ini?

Mudah sahaja. Adik-adik bawa buku Pengembaraan Empat Puteri bertemu dengan puteri-puteri ini. Tunjukkan kepada mereka, dan... tadaaa! Adik-adik boleh bawa pulang hadiah dari Bakul Ajaib!

Kita jumpa di sana ya! \(^___________________^)/

Monday 7 November 2011

Hari Raya Korban

Selamat hari raya idul adha!

Kak Izzah baru sempat update blog. Haih~ bukan main sibuk sejak kebelakangan ini. Maklumlah, sempena perayaan korban, banyak juga perkara yang Kak Izzah perlu korbankan demi masa depan. Terutamanya masa dan tenaga. Hari ini, orang lain semua masih bercuti. Kak Izzah sudah mula bekerja. Manuskrip Cik T_ _ _ _ perlu disiapkan segera! (T_________T)

Semalam Kak Izzah bersembahyang sunat hari raya di Masjid Paroi Jaya, bersama anak-anak saudara Kak Izzah - Najah, Syakirah dan Aisyah.


Pertama kali Kak Izzah dengar khutbah raya, sambil tonton slide show di skrin. Menakjubkan! Cerah mata Kak Izzah. Sebelum ini, Kak Izzah hanya sambut raya di kampung. Masjid di kampung tidak ada slide show begitu.

Selepas sembahyang raya, Kak Izzah sekeluarga pulang ke kampung. Dari rumah ke kampung tidaklah begitu jauh. Jika perjalanan lancar, kurang sejam dapatlah tiba.

Jubah yang Kak Izzah pakai semasa idul fitri tempoh hari, baru sahaja Kak Izzah pakai. Aduh, terlupa langsung perlu pakai lagi di idul adha pula. Jadi, jubah itu beraya di dalam bakul laundri. Kelam kabut di pagi raya, hanya jubah Puteri Orkid sahaja yang sedia dipakai. Maka Kak Izzah menjelmalah menjadi Puteri Orkid versi tidak lengkap di pagi idul adha tahun ini.

Sempat lagi berposing ala-ala Puteri Orkid mengembara dan terjumpa pohon rambutan.
Bercakap berkenaan korban. Kadang-kadang ada perkara yang kita sangat sayang, kita perlu lepaskan demi sesuatu yang lebih baik. Apapun, sentiasa tanam dalam hati, segalanya adalah perancangan Tuhan untuk kita. Apabila perancangan itu Tuhan yang empunya, sudah pasti itulah yang terbaik untuk kita. Walau bagaimana sangat kita inginkan pun, jika ia bukan yang terbaik untuk kita, ia tetap tidak akan jadi milik kita. InsyaAllah, bila kita redha dengan pengorbanan yang kita lakukan itu, maka Tuhan akan berikan ganti yang jauh lebih baik.

Seperti kata Allah dalam surah al-Baqarah ayat ke-216.... 

"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Mudah-mudahan, idul adha tahun ini membawa kebaikan yang berganda-ganda kepada kita semua. Amin!

Thursday 3 November 2011

Sunday 30 October 2011

Riang Ria Puteri-Puteri PTS

Alhamdulillah, sudah selesai tiga aktiviti dalam masa dua hari. Phew~! (kesat peluh di dahi)


Cantik tak kasut Puteri Orkid? (^___^)v

Pada petang Jumaat lepas, Kak Izzah dan rakan-rakan penulis buku Pengembaraan Empat Puteri, menjalani sesi penggambaran di Studio PTS.




Pertama kali Kak Izzah menyertai sesi begini! Oh, sungguh lucu diminta posing begitu begini. Oh! (#____#)

Maklumlah, Kak Izzah menulis watak Puteri Orkid yang pemalu lagi sopan santun. Jadi, perlu berlakon seperti dia. *pitam lima minit*

Puteri Orkid seorang yang super duper pemalu. Sepanjang umurnya, dia hanya pernah bercakap dengan empat orang sahaja iaitu ayahanda, bonda, inang dan rakan karibnya Delimasari.

Kak Izzah sengaja menulis watak begini - berlawanan dengan personaliti Kak Izzah yang sebenar, sering beri kursus di sana sini. Ini kerana, Kak Izzah mahu masukkan tip-tip bagaimana mahu yakin berucap di khalayak ramai di dalam buku yang comel lagi hebat ini.

Terima kasih kepada 'Tok Janggut', ataupun Tuan Sarol yang bijak mengajar kami gaya dan memek muka yang betul. Terasa macam berada dalam pertandingan America's Next Top Model pula. Hehe.

Awal pagi Sabtu, kesemua puteri - Kak Umi Danial, Kak Waida Yusof dan Kak Leen Shazmi, bersama-sama dengan 'dayang-dayang' Kak Gee Mahamad (wartawan PTS), Kak Izanor Sharif (Cinderellah VS Rapunzellah / Aku Mahu Superbibik) dan Kak Malina J (Urus Sendiri SOHO Anda) berkumpul di Gombak. Kami bersiap-siap dengan hati yang dag dig dug - teruja mahu bertemu putera puteri cilik di Festival Buku Kanak-Kanak Kuala Lumpur (FBKKL) dan di Pesta Buku AinMaisarah.

Oh... sungguh kecoh! Seperti menyiapkan empat orang pengantin! *pengsan*

Alhamdulillah, lebih kurang 30 orang putera puteri cilik hadir dan menyertai aktiviti Riang Ria Bersama Puteri-Puteri PTS di Auditorium FBKKL. Kami membuat mahkota...


... dan bermain jigsaw puzzle. 


Acara lebih meriah kerana bukan sahaja kami, tetapi puteri-puteri dari siri Kisah Si Puteri pun ada bersama! 


Seronoknya!

Selesai aktiviti pada jam 12.00 tengah hari, kami beli makanan di FBKKL dan bergegas terus ke Gombak. Kami langsung tidak sempat bersarapan, dan aktiviti di Gombak pula bermula jam 2.00 petang. Fuh! Fuh! Mujurlah Puteri Orkid ada membawa Kitab Garamino sebagai petunjuk arah. Alhamdulillah, kami tidak sesat! p(^o^)q

Tiba di Gombak, Kak AinMaisarah yang vogue bersama Abang Azanil Fitri (Diari Super 3G / Hero Rebut Popular) sudah menanti ketibaan kami.

Sekali lagi kami beriang-ria bersama adik-adik warga Gombak di SK Gombak Utara. Memang meriah! Selepas membuat mahkota, Puteri Mawar Kasturi pula menjalankan eksperimen sains alam bersama-sama mereka. Teruja melihat kincir angin berpusing laju di atas jari!


Empat puteri bersama Kak AinMaisarah dan penulis-penulis Blink Books.

Kak Izzah tiba di rumah pada waktu Maghrib. Terasa seperti Encik Demam menjenguk-jenguk. Cepat-cepat Kak Izzah rendam Panadol Soluble dan minum. Harap-harap Tuhan jauhkan Encik Demam daripada Kak Izzah. Amin!

Kak Izzah dan kawan-kawan termasuklah Bonda Permaisuri Puan Ainon Mohd., berharap agar watak-watak puteri Islami ini dapat menjadi contoh dan kesayangan kanak-kanak di negara kita. Maklumlah, selama ini Kak Izzah sendiri, sejak kecil asyik disogok dengan watak-watak puteri barat yang tidak patuh syariah. Sekarang kita sudah ada puteri kita sendiri. Walaupun sebenarnya, seumur hidup Kak Izzah tidak pernah pakai baju PINK, tetapi Kak Izzah kuatkan hati juga demi adik-adik semua! Yiha!

Juta-juta terima kasih kepada PTS, AinMaisarah dan pasukannya, semua rakan-rakan penulis - Kak Iman Qaisara, Kak Adha Ameera, Kak Haryani Kamilan, Kak Natasha Effyzal, Kak Aizam Aiman, Kak Umi Danial, Kak Waida Yusof, Kak Leen Shazmi, Kak Izanor Sharif, Kak Gee Mahamad, Kak Malina J, ibu bapa dan adik-adik yang hadir ke kedua-dua acara ini. InsyaAllah, Disember nanti kita bertemu di Terminal 1 Seremban pula.

Jumpa lagi! \(^___________^)/

Thursday 27 October 2011

Gaun Puteri Orkid

Alamak!

Tadi ibu saya masuk ke bilik... dan terkesima melihat 'gaun' Puteri Orkid! Teetttt... kantoi sudah!



Gaun? Puteri Orkid pakai gaun?

Haha... sebenarnya bukanlah gaun, ia sehelai jubah yang cantik.

Mahu lihat foto penuhnya? Tunggu~!

Helo, dunia!

Phew~!

Alhamdulillah, sekarang Izzah Huzaira sudah ada blog sendiri! (^_______^)

Rasanya sungguh hebat, seperti mendapat hadiah hari jadi yang tidak disangka-sangka, pada tarikh bukan hari jadi kita yang sebenar.

Baiklah.

Siapalah sebenarnya Izzah Huzaira ini? Tidak pernah dengar pun namanya?

Tidak mengapa, saya faham dilema itu. (u___________u)

Saya penulis yang menulis buku-buku untuk perempuan. Dari buku untuk kanak-kanak, sehinggalah buku untuk dewasa. Semuanya buku-buku untuk perempuan.

Karya pertama saya ialah Pengembaraan Empat Puteri yang diterbitkan oleh PTS One Sdn Bhd.

Apa? Terbitan PTS One? Hebatnya!

Sudah tentu! (^____________^)b

Sekarang saya sedang menulis buku kedua, novel untuk kakak-kakak yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi. Judulnya, Cik T _ _ _ _. Boleh teka?

Ceritanya berkenaan seorang mahasiswi tahun akhir bernama Tasha Taha... atau Tasha Tahir? (nama ini belum ada keputusan akhir lagi....) Dia seorang yang pintar, gorgeous seperti Ivanka Trump...

Kredit foto:  Examiner.com
... tetapi ada sikap hidung tinggi. Walaupun begitu, dia seorang yang berhati mulia. Tasha sering memberi bantuan secara diam-diam kepada ramai orang yang memerlukan.

Oh, sekarang saya sedang bersiap-siap untuk acara Riang Ria Bersama Puteri-Puteri PTS di Festival Buku Kanak-Kanak Kuala Lumpur.



Adik-adik boleh temui puteri-puteri dari buku Pengembaraan Empat Puteri dan Kisah Si Puteri pada 29 Oktober jam 10.30 pagi di Perpustakaan Kuala Lumpur (sebelah Dataran Merdeka). Mintalah ibu bapa adik-adik tolong daftarkan nama ke ptsone@pts.com.my.

Pada sebelah petangnya, kami akan berarak pula ke Gombak, bagi menyertai Pesta Buku AinMaisarah.



Jumpa di sana! \(^____________________^)/